Friday, August 31, 2012

Kau dan Aku, kita bercinta selamanya..


        Terfikir tadi, kenapa kita ini terlalu agungkan rasulullah hingga dalam solat pun disebut-sebut baginda.  Biasanya org yg kita selalu sebut-sebut mesti org itu terlalu dekat di hati kita. Kita menyebut nama baginda setiap hari, tapi masih terasa baginda terlalu asing dan jauh dari kita. Kenapa? Rupanya kita lupa untuk sebut nama baginda, dan ingat baginda dengan perasaan cinta dan sayang pada baginda. Benar,  cintanya terhadap kita yg mendekatkan kita dengan  baginda. Baginda menghulurkan cinta itu, Cuma kita yang ego untuk menyambutnya.
Tergerak tangan dan hati untuk menulis, dari hati, dari rasa cinta yang terkambus selama ini padamu rasulullah. Maafkan kami selama ini!!
 

Ada seorang insan, dia manusia biasa seperti kita.

Di sisiNya, dialah paling terpuji.

Tapi di tengah lautan hamba,
Dialah hamba yang paling terhamba.

Dia suci, tapi dia selalu menangis keseorangan mohon diampuni.
Dia miliki istana di syurga, tapi dia sering merintih minta dijauhkan dari penjara neraka.

Dia kekasih paling tulus.

Di tengah huru-hara mahsyar hingga kita hilang punca, dia mencari-cari kita, bersama kita, menenangkan ketakutan kita.
Bila keganasan mahsyar menyiksa kita, dia datang menyapu dan membasahkan bibir kering kita di telaga al-Kauthar.

Dia juga kekasih paling setia.

Tika kekasih dunia menyalahkan kita di hadapanNya,
Dia adalah kekasih akhirat, yang datang membela dan memohon untuk membawa kita bersamanya ke syurga.

Bila dia rindu kita, dia selalu doakan kita.
Dia pernah beritahu sahabat-sahabatnya, dia sangat rindu pada kita.
Hingga rindu itu menggenangkan air matanya, waktu dia menyebut tentang kita di saat terakhir usianya.

Hari ini dia telahpun tiada.
Tapi dia tinggalkan cintanya pada kita.
Al-Quran dan sunnah, itu peninggalan cintanya yang memeluk kita.

Dia pergi, tapi cintanya abadi.
Ketahuilah, saat ini dia sedang setia menunggu, menanti kita di pintu syurga!

“ Ya Allah, jadikan kami insan yang merinduinya sebagaimana dia yang sentiasa merindui kami. Dan jadikanlah kami insan yang mencintainya, sebagaimana hatinya yang tidak pernah pudar mencintai kami.. “
~31 Ogos 2012, 12:16 a.m

Wednesday, August 29, 2012

Aku ingin kembara lagi..

Kembara menjadikan aku pentafsir kehidupan.

Lalu, aku ingin kembara lagi.

Mencari erti diri, dalam persimpangan keliru.

Mematangkan diri untuk ujian yg sentiasa cemburu.


Aku tahu, perjalanan ini satu amanah,

Maka aku harus jadi insan kuat bukannya kalah.

Makin lama aku berjalan di titian masa,

Makin bergoncang tenang yang selama ini aku punya.


Aku juga tahu di sini tak pernah ada syurga.

Beradu nyenyak seolah di kamar istana, di sini aku bukan raja.

Aku hanya si hamba, yg bekerja taat untuk tuannya.

Ada hari aku letih, aku kecewa dan aku hilang punca,

Tapi, semuanya tak pernah buat aku berhenti bekerja dan percaya,

Bahawa mimpi-mimpi indah aku, Dia pasti mengkabulkan semuanya.



Maka di kembara ini,

Aku akan teruskan mencari,

Alasan untuk terus memajukan diri.

Mempersiapkan diri, mematangkan diri.

Takkan pula berhenti untuk menilai diri.

Biar di mana sahaja aku rendah diri,

Di waktu apa saja, aku mengenal diri,

Sedar tanpa Dia, aku takkan mampu berdiri.


Sesungguhnya, bahagia dan syurga itu dihujung usaha.

Demi aku, dia, dan mereka, maka aku akan teruskan mengembara!